Monday, 10 June 2019

Tafsir Sufi Nazari

Tafsir Sufi dan Perkembangannya

Tafsir sufi berasal dari dua patah kata iaitu “tafsir” dan “sufi”. Tafsir beerti satu bidang ilmu yang membincang dan menjelaskan kehendak Allah swt yang tersemat dalam kitabNya menurut kemampuan manusia. Manakala kata sufi pula beerti mengenepikan kehidupan dunia dan kemewahannya. Tafsir sufi membawa pengertian suatu pentafsiran yang dilakukan oleh golongan sufi berdasarkan bidang kepakaran mereka. Walau bagaimanapun tidak mudah bagi ahli sufi mendapatkan ayat-ayat suci al-Quran yang bertepatan dan menyokong aliran mereka. Hal ini kerana matlamat penurunan al-Quran adalah untuk memberi petunjuk kepada manusia dan bukannya bertujuan untuk menyokong teori-teori ciptaan manusia yang adakalanya jauh dari ruh agama dan kefahaman akal. Perkara ini menyebabkan ada dikalangan mereka yang berusaha memaksakan ayat suci al-Quran agar kelihatan menyokong teori dan aliran mereka. Perkara ini merupakan salah satu faktor penyelewengan dalam ilmu tafsir.

Banyak penyelewengan telah berlaku dalam pentafsiran al-Quran. Hal ini disebabkan beberapa faktor. Faktor utamanya apabila berlaku pembuangan sanad dari tafsir bi’mathur dan berkembangnya pentafsiran berasaskan kefahaman akal yang menyeleweng. Selain itu, masa menyaksikan penulisan tafsir telah melalui anjakan dan percampuran diantara penafsiran berasaskan kefahaman akal dan kefahaman berasaskan nas. Percampuran yang telah berlaku memperlihatkan usaha mufassir mengumpulkan pandangan beberapa individu dan melakukan pentarjihan terhadap pandangan mereka. Kaedah ini diterima selagi mana tidak bercanggah dengan syarat-syaratnya. Namun perbahasan sebegini saban waktu telah berkembang sehinggakan munculnya kitab-kitab tafsir yang mengandungi tafsiran-tafsiran yang tidak dapat dikaitan dengan penafsiran secara bil’mathur.

Aspek akal ataupun dikenali sebagai tafsir bi al-ra’yi telah banyak mendahului dalam penulisan tafsir al-Quran berbanding penafsiran secara bil’mathur. Lahirnya tokoh-tokoh yang menulis kitab tafsir mengikut kepakaran mereka sehingakan berlakunya perbincangan-perbincangan yang melampaui batas. Ahli nahu umpamanya menekankan persoalan mengenai i’rab dan nahu, ahli kalam pula mengumpulkan pandangan para hukamat dan ahli falsafah dengan menyebutkan kekeliruan yang ditimbulkan mereka di samping menolak hujah-hujah mereka, ahli sejarah dengan memuatkan kisah-kisah perkahabaran generasi silam dan kerapkali berlaku percampuran diantara kisah yang benar dan palsu. Manakala ahli fiqh pula lebih cenderung menekankan pentafsiran mereka dengan menfokuskan kepada perosoalan-persoalan fiqh dan cabang-cabangnya. Selain itu, ahli sufi pula dengan kesufian mereka dalam mentafsirkan al-quran dengan mengemukakan perkara-perkara yang berkaitan aspek rohani.

Menurut menurut Ahmad Muslim, tasawuf sudah ada semenjak zaman nabi Muhammad SAW, para sahabat dan tabi'in. Namun sebutan yang digunakan bukanlah tasawuf akan tetapi yang digunakan ialah istilah zahid, abid dan nasik. Pengunaan istilah tasawuf hanya bermula pada penghujung abad kedua hijrah. Setelah abab kedua hijrah muncul berbagai teori yang membicarakan mengenai konsep kesufian. Martabat seorang sufi turut diperbahaskan seperti martabat al-ma'rifat, fana' dan ijtihad. Selain itu, kemunculan ahli-ahli sufi adalah kerana beberapa faktor, antaranya apabila penyakit cintakan dunia mulai meresapi ke dalam hati umat Islam dan berlakunya pergolakkan dalam politik ketika itu. Kedua situasi ini telah mengakibatkan individu-individu yang ingin mempertahankan keimanan dan kerohanian mereka menjauhi masyarakat. Mereka telah memilih untuk mengasingkan diri dan melakukan uzlah. Manakala setelah abab kedua hijrah juga, ilmu tasawuf telah mengalami percampuran dengan ilmu falsafah dan kalam sehingga akhirnya muncul apa yang dikenal sebagai tasawuf nazari dan tasawuf amali. Kedua aliran ini telah mempengaruhi pentafsiran sufi yang dilakukan terhadap ayat-ayat suci al-Quran dan akhirnya munculah istilah tafsir sufi isyari dan nazari.

Definisi Tafsir Sufi Nazari

Tafsir sufi nazari merupakan suatu bentuk pentafsiran yang dilakukan berlandaskan pengkajian dan pandangan para mufasir dalam bidang ini. Tafsir sufi nazari dipelopori oleh Ibn Arabi yang berfahaman wahdatul wujud yang mana terkenal dengan kitabnya futuhah al-makiyyah. Kitab ini turut dimuatkan pentafsiran secara sufi nazari sehingga ada pentafsiran yang dilakukan oleh pengarang terkeluar dari kaedah-kaedah pentafsiran yang diiktiraf. Manakala menurut Ahmad Muslim, tafsir sufi nazari beerti suatu penafsiran yang berasaskan pengkajian yang mendalam mengenai al-Quran yang dipengaruhi oleh elemen falsafah. Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa pentafsiran ini adalah proses pentakwilan terhadap ayat-ayat al-Quran yang mana menghasilkan penjelasan yang bercanggah dengan makna asal ayat-ayat tersebut.

Takwil menurut Cecep Alba beerti mengambil makna yang tersembunyi dari makna yang zahir dengan memperkirakan adanya qarinah yang memberi ruang untuk pengalihan makna tersebut secara kasyaf. Meskipun begitu, ada dikalangan ulama yang menolak pentafsiran sebegini kerana dilandasi oleh pentakwilan yang menyeleweng dan berlandaskan keinginan untuk mempertahankan ajaran-ajaran tasawuf yang didokong oleh pentafsir tersebut yang mana telah bercampur elemen falsafah (Kautsar Azhari Noer 2013). Walaupun begitu, pentakwilan sedemikian terhadap ayat suci al-Quran akan menemui kesukaran kerana matlamat penurunan al-Quran bukanlah untuk menyokong teori-teori ciptaan manusia bahkan penurunannya merupakan rahmatan lilalamin (rahmat bagi seluruh alam).

Pembahagian Tafsir Sufi Nazari
Tafsir sufi nazari dapat dibahagikan kepada dua metode pentafsiran iaitu metode tafsir ramzi dan batini. Penjelasan kedua-dua metode adalah sebagaimana di bawah.

1. Metode Tafsir Ramzi
Merupakan metode yang disampaikan dalam bentuk simbol-simbol dan istilah-istilah yang sukar difahami oleh masyarakat awam dan hanya difahami oleh golongan yang tertentu. Hanya mereka yang mencapai maqam yang tertinggi dalam ilmu tasawuf iaitu maqam 'irfan mampu melakukan tafsiran mengikut kaedah ramzi. Metode ini juga tidak terikat dengan mana-mana kaedah dan prinsip yang mana hakikatnya pentafsiran tersebut hanyalah berlandaskan pengalaman keruhanian mereka. Metode ini banyak menggunakan simbol (ramziyyah) dan isyarat tertentu yang berkembang pesat pada abad ketiga dan keempat hijrah.

2. Metode Tafsir Batini
Metode ini menekankan pentafsiran ayat-ayat suci al-Quran dengan memikirkan makna batin yang dimaksudkan dan tersembunyi disebalik maknanya yang umum. Menurut pihak yang membenarkan metode ini, bahawa hanya mereka yang dibukakan oleh Allah SWT pintu hatinya mampu melakukannya dan mereka adalah individu-individu yang terpilih. Mereka beranggapan hanya makna batin merupakan makna yang sebenar yang dimaksudkan oleh sesuatu ayat suci al-Quran. Perkara ini mengambarkan penafian terhadap makna zahir yang difahami oleh kebanyakkan ulama tafsir yang berpegang dengan kaedah dan prinsip dalam pentafsiran mereka. Pentakwilan batin yang dilakukan mereka juga haruslah secara mendalam dan melalui proses mujahadah diri yang berat.

Tafsir Sufi Nazari adalah suatu perbahasan keilmuan yang kurang mendapat perhatian. Hal ini terbukti dengan kurangnya perbahasan mengenainya terutama dalam rujukan-rujukan berbahasa Melayu.

Rujukan
Firdaus. 2016. Tafsir Sufi: Kajian Analitikal Terhadap Kitab Tafsir Al-Bahr al-Madid fi Tafsir al-Quran al-Majid oleh Ibn `Ajibah (1160 -1224 H). Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Cecep Alba. 2010. Corak Tafsir al-Quran Ibnu Arabi. Jurnal Sosioteknologi Edisi 21. Halaman: 987-1003.
Kautsar Azhari Noer. 2013. Hermeneutik Sufi: Sebuah Kajian atas Pandangan Ibn Arabi Tentang Takwil al-Quran. Jakarta: UIN Syarif Hidayatullah. Halaman: 309-326.
Ahmad Muslim. 2016. Corak Penafsiran Tasawuf Hamka (Studi Penafsiran Ayat-Ayat Tasawuf Dalam Tafsir Al-Azhar). Raden Intan Lampung: Fakultas Ushuluddin Institut Agama Islam Negeri (IAIN).

Saturday, 31 March 2018

Sufi Haraki


Sufi Haraki

Sufi beerti segolongan manusia yang memilih jalan tasawuf dalam kehidupan mereka. Terdapat pelbagai definisi sufi. Namun berdasarkan pemahaman insan kerdil ini. sufi ialah perilaku seorang manusia yang mana disetiap langkahnya sentiasa mengigati Allah swt dan Rasulullah saw. Hal ini bukanlah beerti sepanjang 24 jamnya diam ia disejadah berzikir dan menangis. Sufi dalam erti kata ini ialah, dia umpama cerbisan permata dalam timbunan kaca. Ia hidup dan tidak ia menjauhkan diri dari masyarakat.

Haraki pula beerti mereka yang melibatkan diri dalam gerakan Islam. Mereka terlibat dalam gerak kerja menegakkan agama Allah swt dan gerak kerja mereka ada yang diketahui umum dan ada yang tersembunyi. Haraki juga tidak dapat dipisahkan dengan matlamat siasah sama ada melalui demokrasi atau apa jua sistem yang mana matlamat mereka ialah Daulah Islamiyyah agar Ustiazatul Alam tercapai.

Manakala Sufi Haraki ialah mereka yang mana bergerak kerja dalam Jemaah Islamiyyah dan hatinya sentiasa terpaut pada Allah swt dan Rasulullah saw. Mereka bergerak kerja disamping menjaga perhubungan dengan Allah swt dan memperbaiki hubungan mereka dengan sesama makhluk. Hidup mereka umpama seorang pahlima yang perlu menyelesaikan misinya. Sama ada ia mati dalam perjuangan atau dia melihat kemenangan itu.

Bagi insan yang kerdil ini, setiap mereka yang bergelar sufi haraki ialah mereka yang terpaut hatinya pada Allah swt dan Rasulullah saw dalam setiap hembusan nafas perjuangan mereka. Disamping mereka memdalami ilmu siasah, mereka juga mempelajari ilmu-ilmu fardhu ain yang lain. Itulah Sufi Haraki. Tutur kata, akhlak, perilaku semuanya dijaga, kethiqahan turut mereka titikberatkan. Tiadalah ia sedemikian melainkan untuk mengharapkan rahmat dari Allah swt.


Muhd Khairi

Saturday, 11 November 2017

Bukan Talhah



Bukan Talhah
Apabila menyebut nama talhah, mesti rata-rata menyangka aku ingin berbicara mengenai Talhah dari kalangan sahabat Baginda. Namun yang ingin diriku bicarakan dikesempatan ini ialah mengenai seorang abang master di sebuah pusat pengajian tinggi. Namanya Talhah, sudah berkahwin dengan jodoh ketetapan tuhan.

Sosok tubuh ini amat dikagumi. Walau dikesibukan menyiapkan tesis masternya serta mengurus kehidupan bekerluarga, dia tetap gagah menarik jiwa-jiwa anak muda yang dahagakan pengisan ke dalam bulatan usrah yang dikendalikannya. Meski aku bukanlah salah seorang dari mutarobbi[1]nya. Namun penceritaan dari salah seorang mutarobbinya akan keperibadiannya menarik minatku untuk berkongsi di kesempatan ini.


Jam hampir 9.30 malam, kedengaran pintu asrama diketuk. Bingkisku dalam hati,
“Mungkin itu abang Talhah”

Seorang insan yang baru dikenali secara tidak langsung atau mungkin Amir jiranku ingin memprint kerja kursusnya. Tapi hatiku kuat mengatakan itu abang Talhah. Lantas segera tanganku memegang tombol pintu dan tanpa teragak-agak membuka dengan perlahan-lahan.

Seperti jangkaanku. Abang Talhah rupanya datang berziarah. Mataku tertumpu kepada al-Quran kecil di gengamaannya. Serius talk aku suka mendengar tadabur[2] ayat-ayat suci al-Quran olehnya. Suatu tarikan utama ialah abang Talhah mampu mengkaitakan sesuatu ayat al-Quran itu dengan realiti yang berlaku.

“Akhi, apa khabar?Ini ada sedikit buah tangan ana belikan untuk kita, sebagai popcorn semasa usrah seketika nanti”

Aku menepuk dahi. Astaghfirullah terlupa yang malam ini ada usrah rupanya. Mindaku mengimbas kembali bahawa petang tadi abang Talhah ada maklumkan detail usrah dalam group whatsapp. Ini tentu kerana aku yang begitu sibuk menyiapkan proposal sehingga terlupa hal-hal sebegini.

“Habisla, nak siapkan proposal atau berusrah ni”. bisik ku dalam hati.

Namun andai difikirkan abang Talhah lagi busy, master kot. Ingat senang ke. Sebenarnya proposal tersebut boleh sahaja disiapkan esok hari. Esok mana ada kuliah.

“Amir, apa yang awak menungkan tu. Mana Hamzah dan Abqari?”

Tiba-tiba pintu bilikku diketuk, Hamzah dan Abqari muncul tiba-tiba. Segera mereka masuk dengan berkain pelekat dan berbaju melayu. Baru balik dari surau ke mereka ini. Mungkinlah kot.

“Maaf, kami lewat sikit, tadi ada majlis ta’lim bacaan hadith di surau”


Malam pun berlalu dengan pengisian dari abang Talhah. Sebenarnya ini usrah kedua kami. Usrah dimulai dengan bacaan al-Fatihah dan disudahi dengan tasbih kafarah. Pengisian yang disampaikan bukanlah berbentuk talaqqi[3] bahkan merupakan interaksi dua hala antara kami berempat. Antara pengisan yang terbaik pada malam ini ialah mengenai hadith logam.

Sabda Rasulullah saw mafhumnya “Manusia seperti logam, terpilihnya semasa jahiliyyah, terpilihnya semasa Islam, sekiranya mereka faham”. Hadith riwayat Imam Bukhari daripada Abu Hurairah.

Hadith ini meyedarkan diriku, cuba ku amati dan kusedari selama ini rupanya aku tersalah mengunakan logam yang ku miliki. Arghhh, abaikan. Itulah rupanya zaman jahiliyyahku. Namun zaman itu telah berlalu.

Perkenalan ku dengan abang Talhah banyak membuka minda ku, logam yang kumiliki cuba ku upayakan untuk memikat jiwa-jiwa yang seperti diriku, jiwa yang dahagakan pengisian.

“Alhamdulillah, dah hampir jam 12 malam. Ana minta diri untuk pulang dulu ye. Satu pesanan ana. Ukhuwah yang terbina ini, kita sama-sama pertahankan meski natijahnya kita bakal berjauhan, membawa diri apabila sudah bekerjaya nanti”.

Lalu bingkas abang Talhah bangun mencapai beg laptopnya dan beransur meninggalkan kami bertiga dengan seukir senyuman penuh bermakna.

“Jadi sekarang ni ko join usrah lagi tak?”

“Tak join dah, sebab tak mampu nak bagi komitmen yang sewajarnya lagipun ni dah tahun akhir”


Dialah Talhah. Sosok tubuh yang aku ambil iktibar[4] darinya. Diceritakan bagaimana dia sangup datang untuk memberi pengisian usrahnya walau terpaksa kuyup basah bajunya menaiki motosikal yang tiada beratap. Lihatlah bagaimana kesungguhannya itu. Hal sebeginilah yang perlu kita contohi dan praktikan dalam kehidupan. Andai kita seorang mutarobbi ataupun murobbi yang benar-benar ingin mengisi dan terisi dengan usrah, maka hujan pasti kita rempuhi, kerja kursus sudah pasti kita ketepikan seketika, demi menghadirkan diri ke bulatan usrah.

“Akhi, sekarang hujan la, kalau pergi pun mesti member usrah, kadang-kadang naqib pun tak datang la, baik buat kerja lain”

Sifat sebeginilah yang aku kurang gemari andai ada dalam hati sanubari jiwa bakal murobbi. Tidak kisah la hujan ataupun tidak, hadir atau tidak anak usrah atau naqib enta itu, yang penting awak dah berusaha untuk “berlakunya” usrah tersebut. Jangan cepat mengeluh.

Buat “junior murobbi” [5], boleh jadi anak usrah tidak hadir kerana cara penyampaian usrah itu yang salah. Perlu diingatkan, usrah buknalah tempat untuk talaqqi kitab, serius itu bakal membosangkan, akan tetapi usrah itu adalah tempat mencanangkan ilmu, berkongsi pendapat. Mengendalikan usrah perlu seninya. Andai tidak kena caranya, maka sudah pasti usrah menjadi hambar. Bawalah sedikit popcorn untuk halwa mulut mengunyah disamping memupuk sifat ithar[6] dalam kalangan anak-anak usrah.

Atau mugkin boleh jadi ketidakhadiran anak usrah kerana dosa-dosa kecil yang kita lakukan! Siapa tahu.

Marilah kita bermuhasabah dan menjadikan kisah Talhah sebagai ikhtibar. Dalam kesibukannya sebagai seorang student master dan juga seorang suami tapi masih mampu untuk membawa bulatan bahagia. Betapa dia bersungguh untuk mengerakkan jiwa-jiwa yang mendambakan pengisian.

Buat bakal murobbi, binalah binaan kita dengan sebaiknya agar bertambahnya logom-logam berbisa, yang mampu mengoncang jahiliyyah yang sedang menghakis peradapan dunia Islam ketika ini.

Buat mutarobbi, janganlah dikau memandang kepada siapa naqib yang menjalankan usrah, tapi pandanglah akan ilmu yang ingin dikongsikannya itu. Serikan usrahmu dengan bertanya dan berkongsi input-input bermanfaat buat teman-teman usrahmu.
Sekian untuk coretan kali ini..


           






[1] Anak usrah
[2] Ringkasnya suatu proses memahami al-Quran mengikut kaedah-kaedahnya. Melalui guru contonnya.
[3] Contonya, guru membaca kitab, menghurai dan pelajar mencatat.
[4] pengajaran
[5] Pangilan kepada naqib (ketua) usrah
[6] Memuliakan sahabat

Wednesday, 19 October 2016

Agama Sikh

AGAMA SIKH



1.0 PENGENALAN

Agama Sikh merupakan sebuah agama yang termuda berbanding agama-agama lain dan muncul sekitar 500 tahun yang lalu di India. Merupakan sebuah agama yang diasaskan mengikut ajaran Guru Nanak dan sembilan orang pengikutnya yang turut digelar sebagai Guru di Punjab. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat perkataan Sikh merujuk kepada orang ataupun golongan yang menganut agama Sikhisme. Perkataan Sikh berasal dari bahasa Sanskrit iaitu Shishya yang bermaksud pelajar. Pada masa kini jumlah penganut agama Sikh melebihi 23 juta orang di seluruh dunia dengan kadar 0.32 peratus penduduk dunia.

            Selain itu, antara definisi ‘Sikh’ yang diterima pakai oleh orang Sikh pada hari ini ialah definisi yang ditetapkan oleh Shiromani Gurdwara Parbandhak Committee (SGPC) iaitu “Orang Sikh ialah wanita atau lelaki yang mempercayai Tuhan yang satu, 10 orang Guru Sikh iaitu dari Guru Nanak hingga Guru Gobind Singh, percaya kepada Guru Granth Sahib, menjalani amrit dan tidak menerima agama-agama lain”.

            SGPC merupakan sebuah badan yang bertanggungjawab untuk mengatasi masalah yang melibatkan penganut Sikh di seluruh dunia. Pada 16 November 2003, Institute of  Sikh Studies (IOSS) dalam seminar tahunannya telah meluluskan resolusi supaya SGPC mengambil inisiatif untuk mewujudkan sebuah badan tertinggi yang mewakili semua organisasi Sikh dari seluruh dunia. 

            Ini bertujuan untuk menjaga kepentingan dan menyelesaikan krisis-krisis yang dihadapi oleh penganut Sikh di seluruh dunia, antaranya ialah perpecahan, masalah identiti dan peristiwa orang Sikh yang keluar dari agama Sikh dan memeluk agama lain. SGPC ini bertanggungjawab menguruskan gurdwara, keselamatan, kewangan, kemudahan penyelenggaraan  serta menjaga artifak suci Sikh seperti  senjata, pakaian, buku-buku dan tulisan-tulisan Guru Sikh.


2.0 SEJARAH KELAHIRAN DAN PERKEMBANGAN AGAMA SIKH

2.1 SEJARAH KELAHIRAN AGAMA SIKH

            Dari segi sejarah, agama Sikh diinspirasikan oleh dua orang tokoh reformis agama Hindu iaitu Ramanand (1400-1470 Masihi ) dan Kabir ( 1440-1518 Masihi ). Ramanand merupakan seorang penganut agama Hindu dan juga seorang penyair yang dilahirkan dalam keluarga Brahmin. Beliau juga dikenali dengan nama Jagadguru Ramanandacharya. Namun disebabkan beliau tidak bersetuju dengan sistem kasta yang terlalu ditekankan oleh golongan Brahmin, beliau telah mengasaskan satu aliran dalam agama Hindu yang dikenali sebagai Gerakan Hindu Bhakti. Diantara kandungan ajarannya ialah beliau sangat mencela penyembahan berhala.

            Kebanyakkan syair yang dikarang beliau mengajar bahawa tuhan itu esa, kebenaran merupakan sahabat yang paling rapat kepada manusia dan hidup bersederhana itu merupakan jalan terbaik untuk mencapai Nirwana. Keadaan ini memberitahu kita bahwa ajaran yang dibawa oleh Ramanand masih terikat dengan ajaran Hindu yang mana berpegang bahawa Nirwana merupakan balasan terhadap perbuatan baik.

            Selain itu, Ramanand juga masih mempercayai hukum Karma dan Reinkarnasi. Hukum Karma bermaksud balasan terhadap perbuatan yang dilakukan oleh manusia sepanjang hidupnya. Manakala Reinkarnasi pula merupakan penjelmaan kembali makhluk yang telah mati untuk menerima balasan diatas kejahatan yang dilakukannnya.

            Manakal Kabir pula merupakan seorang lelaki miskin daripada kasta paling rendah agama Hindu. Ayah kabir meninggal dunia sewaktu Kabir masih kecil lagi dan beliau dibesarkan oleh ibunya sehingga berumur setahun. Disebabkan kesempitan hidup, ibu Kabir telah mengambil keputusan untuk menghanyutkannya ke sungai Gangga di daerah Banares. Beliau bernasib baik kerana telah dijumpai oleh sepasang suami isteri yang bernama Niru dan Nima yang beragama Islam.

            Apabila meningkat dewasa Kabir telah dihantar oleh kedua ibu bapa angkatnya untuk mempelajari ilmu di Varanasari. Pada usia 16tahun, beliau telah mempelajari ajaran-ajaran yang terdapat di dalam agama Islam dan Hindu. Di samping itu Kabir juga sangat meminati syair-syair yang dihasilkan Ramanand.

            Walaupun Kabir mempunyai ilmu pengetahuan tentang ajaran-ajaran di dalam agama Islam dan Hindu namun masih tidak berpuas hati terhadap keduanya malah lebih tertarik kepada karya-karya Ramanand. Beliau akhirnya telah membentuk ajarannya sendiri yang dikenali sebagai Kabir Panthis yang bermaksud pengikut jalan Kabir. Beliau juga telah menulis ajarannya yang digubah dalam bentuk syair dan mendakwa semua agama mempunyai kebenaran dan hanya ada satu tuhan sahaja. Akhirnya idea yang dicetuskan Kabir ini telah dikembangkan oleh Guru Nanak yang menjadi pengasas kepada agama Sikh.

            Pada asasnya, Guru Nanak telah menentang segala jenis ritual dan beliau tidak bertujuan untuk membentuk ajaran baru. Ajaran beliau adalah lebih berbentuk kepada peraturan kemasyarakatan yang mana masyarakat ketika itu mengalami kekeliruan diantara kepercayaan tradisi dari agama Hindu dan ajaran tauhid dari penyebaran agama Islam.

            Percubaan menyebarkan Islam ke India telah dimulakan sejak zaman Khulafa al-Rasyidin lagi. Usaha murni ini telah diteruskan di bawah pemerintahan kerajaan Umaiyah terutamnya pada pemerintahan khalifah al-Walid bin Abd al-Malik. Sekitar tahun 711-712 Masihi, melalui ekspedisi yang dipimpin oleh panglima Muhammad bin al-Qasim yang telah mengetuai angkatan tentera menuju ke India dan memulakan perkembangan peradaban Islam di India.

2.2 PENGASAS AGAMA SIKH

            Pada abab ke 15, telah berlakunya Gerakan Bakhti yang diasaskan oleh Ramanand di India. Gerakan ini bertujuan untuk mengkritik amalan-amalan yang melibatkan tatacara dalam upacara keagamaan dan tahyul pada zaman tersebut. Para pendokong gerakan ini menegaskan bahawa tujuan dari Hinduisme dan Islam adalah sama. Segala perbezaan diantara keduanya tidak boleh dijadikan alasan untuk mencetuskan kebencian dan permusuhan dalam agama. Pada zaman ini jugalah Guru Nanak dilahirkan.

            Guru Nanak di lahirkan pada 15 April 1469 di sebuah perkampungan bernama Talwandi yang kini diberi nama ‘Nankana Sahib’ berdekatan Lahore, Pakistan dan meninggal dunia pada 22 September 1539. Ayahnya bernama Mehta Kalu manakala ibunya bernama Tripta. Beliau berketurunan bangsawan beragama Hindu. Beliau juga amat tertarik dengan ajaran yang dibawa oleh Ramanand dan Kabir Panthis. Pada tahun 1488, beliau telah berkahwin dengan Sulakhani pada usianya 19 tahun dan dikurniakan dua orang putera. Keadaan hubungan diantara agama Hindu dan Islam pada waktu tersebut diselubungi pelbagai permasalahan dan persengketaan.

            Dikatakan Guru Nanak gemar pergi ke dalam hutan untuk memikirkan masalah yang menimpa masyarakatnya. Pada usia tiga puluh tahun, Guru Nanak telah menemui sesuatu yang baru di dalam hidupnya sekembalinya dari hutan yang selalu dikunjunginya itu, beliau memberitahu isterinya bahawa beliau telah menjadi Guru. Apabila ditanya oleh isterinya apakah yang dimaksudkan dengan Guru itu, beliau memberitahu bahawa Guru adalah orang yang ditugaskan untuk mengajar suatu kepercayaan. Apabila ditanya lagi oleh isterinya apakah kepercayaan itu, Guru Nanak memberitahu bahawa “tiada agama Hindu, dan tiada agama Islam, tuhan bukanlah Hindu dan bukan Islam, jalan yang aku ikuti ialah jalan tuhan”. Semenjak itu Guru Nanak telah mengembara ke seluruh India untuk mengembangkan ajaran baru yang dibawanya.

            Sebelum Guru Nanak meninggal dunia, beliau telah memilih salah seorang dari anak muridnya iaitu, Lehna, untuk dilantik sebagai penggantinya menjadi Guru agama Sikh. Guru Nanak kemudian menukar nama Lehna kepada Angad. Terdapat sembilan Guru dalam agama Sikh selepas Guru Nanak yang mana diakhiri oleh Guru Granth Sahib.


2.3 SEJARAH PERKEMBANGAN AGAMA SIKH

            Guru Angad telah dilantik menjadi guru pada tahun 1539. Beliau telah dilahirkan pada tahun 1504 dan meninggal dunia pada tahun 1552. Diantara sumbangan beliau ialah telah menyusun syair-syair yang mengandungi ajaran Guru Nanak dan membukukannya di dalam kitab Nanak Janam Sakhi dan telah memperkenalkan sistem tulisan yang dikenali sebagai Gurumurthi. Pada zaman Guru Angab juga diperkenalkan gelaran Panthi terhadap komuniti atau golongan Sikh. Selain itu, diantara pembaharuan lain yang diperkenalkan oleh beliau ialah dengan memperakui bahawa Guru Nanak sebenarnya merupakan penjelmaan tuhan di muka bumi ini. Pembaharuan ini menyebabkan beliau menitikberatkan ajaran berkonsepkan Monisme.

            Menurut konsep ini tuhan adalah satu, tidak dua dan tiga. Bagi mendekatkan diri kepada tuhan setiap penganut agama Sikh mestilah menyebut nama tuhan setiap hari terutamanya dalam upacara keagamaan mereka. Ajaran ini juga menafikan penyembahan kepada sesuatu objek kerana yang mesti disembah oleh seluruh manusia adalah tuhan yang satu. Dari agama Islam mereka telah mengambil ajaran Monoteisme iaitu ajaran yang mengakui satu tuhan sahaja. Manakala dari agama Hindu pula mereka telah mengambil konsep Panteisme dan Monisme yang mana mengangap bahawa tuhan juga wujud dalam alam semulajadi. 

             Oleh itu dapat difahami bahawa tuhan dalam agama Sikh juga wujud dalam semua bentuk termasuklah manusia. Nama tuhan ialah Nam. Nam mempunyai banyak sifat. Tuhan bagi penganut agama Sikh terdiri dari dua aspek iaitu tuhan Nirguna dan tuhan Sirguna. Akan tetapi tuhan yang disembah oleh penganut Sikh cumalah tuhan Nirguna. Sifat tuhan Nirguna adalah menyamai sifat tuhan di dalam agama Islam. Manakala tuhan Sirguna pula menyerupai tuhan yang disembah di dalam agama Hindu.

            Selain Guru Angad terdapat lagi lapan orang guru lagi yang mana masing-masing memainkan peranan penting dalam melakukan perkembangan di dalam agama Sikh. Diantara mereka ialah Sri Guru Amar Das (1479-1574), Sri Guru RamDas, (1534-1581), Sri Guru Arjun  (1563-1606), Sri Guru Hargobind Sahib (1595-1644), Sri Guru Har Rai (1630-1661), Sri Guru Krishna (1656-1664), dan Sri Guru Teg Bahadur (1621-1675). Manakala guru yang terakhir pula bernama Guru Gobind Singh (1666-1708).

             Beliau merupakan anak kepada Guru Teg Bahadur yang mana dilantik menjadi guru pada tahun 1675. Beliaulah merupakan orang yang bertanggunjawap dalam melengkapkan dan menyempurnakan agama Sikh. Diantara pembaharuan yang dilakukan oleh beliau ialah telah memperkenalkan konsep Khalsa pada tahun 1699. Khalsa merupakan satu upacara yang perlu dilakukan oleh seseorang untuk menjadi penganut agama Sikh sama ada lelaki atau perempuan melalui upacara Amrit Sanskar iaitu upacara pembaptisan. Upacara ini dilakukan oleh lima Sikh yang soleh dan sempurna yang digelar Panji Piare (Five Beloved Ones). Sebelum dibaptiskan, individu tersebut mestilah mandi terlebih dahulu serta wajid memakai simbol Kakkars.

            Selain itu, Guru Gobind Singh juga telah memperkenalkan pemakaian sejenis kain pembalut kepala atau kain serban bagi penganut agama Sikh yang lelaki dan meletakkan tambahan pada akhir nama penganut Sikh iaitu Singh yang bermaksud singga. Beliau juga telah membukukan sebuah kitab yang bernama Dasam Granth hasil dari susunan teks-teks baru. Isi kandungan kitab tersebut adalah berbentuk syair-syair karyawan yang diambil dari kaum lain seperti Persia dan Islam. Seterusnya beliau telah menyusun dan menggabungkan kitab Dasam Granth dan kitab Adi Granth dalam sebuah kitab yang dinamai kitab Guru Granth Sahib yang mana kini menjadi kitab suci bagi agama Sikh dan sebagai pengganti kepada beliau.

            Guru Gobind Sing turut melibatkan kaum Sikh di dalam peperangan menentang orang Islam demi mencapai cita-cita mereka iaitu menubuhkan sebuah negara mereka sendiri. Setelah beliau meninggal dunia pada tahun 1708, ia meninggalkan kaum Sikh di bawah pimpinan seorang jeneralnya yang bernama Gurbakhash Sing Bhai memimpin kaum Sikh dalam perjuangan mereka. Pemerintah pada waktu itu kemudiannya memutuskan untuk mengharamkan agama Sikh yang akhirnya memaksa para penganut agama Sikh melarikan diri ke kawasan pergunungan dan hutan.

            Dalam tahun 1757 orang-orang Sikh telah menguasai Lohore, ibukota pemerintahan kerajaan Mogul di Punjab dan telah mengusir orang-orang Mogul dari Punjab. Pada tahun 1765, agama Sikh diistiharkan sebagai agama yang paling kuat pengaruhnya di Punjab. Namun kegemilangan ini tidak bertahan lama, kerajaan Sikh terpaksa pula berhadapan dengan Inggeris yang mana telah berjaya menawan sebahagian besar India ketika itu. Dalam permusuhan ini telah terjadi dua peperangan besar diantara tentera Sikh dan Inggeris yang mana dikenali sebagai perang Sikh. Akhirnya kerajaan Sikh telah mengalami kekalahan dan menjadi sebahagian jajahan Inggeris di India.

3.0 KOMUNITI SIKH HARI INI

            Semenjak orang Sikh berhijrah dari Punjab lebih dari satu abad dahulu ke negara-negara luar, mereka telah membentuk komuniti Sikh yang bersifat global. Walaupun suasananya berbeza dengan penempatan asal mereka, namun orang Sikh masih mengekalkan agama, budaya dan bahasa sebagai identiti mereka yang tersendiri. Dalam masyarakat Malaysia, komuniti Sikh masih lagi dikategorikan sebagai etnik minoriti berbanding dengan etnik-etnik lain. Walaupun mereka berasal dari Punjab India, komuniti Sikh adalah berbeza dengan komuniti Tamil yang juga berasal dari benua India. Kedatangan mereka ke Malaysia dengan membawa sejarah, budaya, agama dan bahasa yang tersendiri ini merupakan elemen-elemen yang penting dalam pembentukan masyarakat berbilang kaum dan agama.

            Walaupun komuniti Sikh adalah komuniti minoriti, namun ia tidak menghalang mereka dari hidup berdampingan dengan tiga bangsa majoriti iaitu Melayu, Cina dan India serta komuniti minoriti yang lain dalam suasana harmoni. Dalam masa yang sama, mereka juga menyumbang ke arah kesejahteraan sosio-ekonomi negara ini. Di peringkat global pula, perbincangan mengenai identiti Sikh juga mendapat perhatian setelah berlakunya peristiwa 11 september 2001 yang menyebabkan orang Sikh menjadi mangsa ‘mistaken identity’ di Amerika Syarikat yang turut melibatkan orang Sikh di seluruh dunia.


4.0 KESIMPULAN

            Agama merupakan satu keperluan dalam kehidupan setiap manusia. Mereka yang mencuba untuk mengasingkan agama dari kehidupan seharian adalah individu-individu yang mengalami kekeliruan yang amat jelas. Tanpa agama kejahatan akan berleluasa. Sejarah dan perkembangan agama Sikh bermula dengan munculnya ajaran-ajaran yang dibawa oleh dua orang tokoh reformis Hindu iaitu Ramanand dan Kabir yang mana menjadi inspirasi kepada Guru Nanak untuk membentuk satu ajaran baru dan menyebarkannya sehingga terbentuklah agama Sikh.

            Manakala tokoh yang memainkan peranan utama di dalam agama Sikh ialah guru yang kesepuluh iaitu guru Gobind Singh. Beliau telah memperkenalkan beberapa konsep baru di dalam agama Sikh yang mana masih diamalkan oleh penganutnya sehingga sekarang. Keunikan agama ini dapat dilihat terutamanya apabila mereka melakukan amalan dan ritual dalam upacara Amrit Sanskar dan rukun agamanya iaitu 5K atau juga dikenali sebagai Kakkars. Menjadi lumrah dalam sesuatu agama ianya akan menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan serta halangan dari luar bahkan dari dalam agama itu sendiri. Untuk mengatasi masalah sebegini perlulah dilakukan suatu usaha untuk mengekalkan ajaran yang dibawa oleh guru-guru mereka dari diselewengkan yang mana implikasinya akan menyebabkan ramai penganut agama Sikh akan mula hilang kepercayaan dan ketaatan terhadap agama mereka.
          

# Sebetulnya masih terdapat kekurangan di dalam penulisan ala-ala kajian ini. Moga bermanfaat.. Sekadar rujukan untuk perkongsian semua. Moga membantu. : )



Wednesday, 25 May 2016

salaf khalaf

Perjalanan Menuju Sebuah Pengertian

Kefahaman ilmu di kalangan agamawan

Dewasa kini kita lihat ramai yang belajar untuk berhujah. Ada dikalangan kita yang main petik dalil-dalil agama semata-mata untuk memenangkan hujah mereka. Menjadikan ianya sebagai dalil tanpa mengetahui asas ilmu itu.

Adakah kau tahu asbab nuzul ayat tu ?
Entah-entah itu ayat yang dimansuhkan ?
Entah-entah itu hadis doif ?
Ramai diantara kita mengunakan hujah yang tidak kuat atau berpada sekadar mengutarakan pandangan ulama tanpa mengetahui sandaran ulama tersebut.
Doif ke sohih sandaran tu ?
Dalam bab akidah, ramai masyarakat keliru tentang agamawan sekarang. Berhujah katanya demi akedemik tapi sehingga menjatuhkan hukum tanpa asas.
Wahabi punya orang?

Lihat masyarakat sekarang, adakah apabila seseorang melakukan sesuatu yang tiada dalam mazhad syafei maka dipanggilnya wahabi.

Eh, cu kau terangkan apa tu wahabi ? tak bleh pula jawap.. inilah menteliti sesetengah masyarakat.

Golongan agamawan pula berdebat mengeluarkan pendapat. Hujah yang lemah dinafikan manakala hujah yang kuat dikatakan lemah.
“Ni adat masyarakat kita. Dah memang dah lama diamalkan. Memang takde hadis kan. Tapi tak de pula hadis yang kata larang. Jadi boleh lah buat. Ulama tetapkan sebegini sebab kita ni perlu ..”
Sedangkan bidaah itu dalam urusan muamalat maka dibenarkan. Tapi di dalam ibadah tak bleh.

Mafhum hadis “siapa yang mengadakan sesuatu dalam agama maka ianya tertolak. Setiap bidaah ke dalam neraka”

Mula la pula keluarkan tu bidaah qobih, yang hasanah takpe.

Wahabi dalam bab aqidah diorang hebat. Hujah diorang padu.

Mana elok tauhid asma sifat ngn sifat dua puluh ?
Iman Asyaari tu siapa?
Wahbah tu pula ?
Siapa sufi, siapa salafi ?
Ilmu hadis ?
Mana baik pendekatan khalaf atau salaf ?

Kata kita orang agama tapi bila orang tanpa tak dapat jawap atau hanya jawap ikut kepala.

Kata kita mazhad syafei tapi amalkan juga pendapat mazhad lain .
Dalam sifat dua puluh ada sifat yang sama ngn makhluk tapi tak leh kata sama ianya dengan Allah swt. Boleh pula. Dalam bab Allah swt di atas arasy pula bila kata tuhan kat atas langit lah. Kita kata sesat pula. ?

Kesimpulan yang dapat dibuat maka keatas ahli agama perlu mendalami bidang mereka tanpa mengabaikan bidang agama yang lain. Banyakkan pembacaan. Isu-isu sebegini perlu ditangani dan dijawap dengan hujah dan dalil-dalil yang betul sahih kuat. Terbang burung tinggi, terbang dengan kepak yang berbulu.

Key : abdul fatah harun (jakim), sejarah pemikiran 1&2, falsafah alam islam

Asas pegangan di dalam penilaian ( METODOLOGI )

1. berpegang kepada al Quran dan as Sunnah, qias dan ijma’ ulama
2. berlapang dada dalam semua isu
3. baca hujah dan dalil-dalil setiap isu
4. berhati-hati membuat penilaian
5. yang kita tahu tidak semestinya dipegang
6. yang kita baru tahu tidak semestinya dipegang
7. berhati-hati terutama dalam bab akidah
8. jangan terpengaruh dengan liberal dan seangkatannya, baca hujah mereka
9. jangan ada sifat mazmumah dalam perjalanan ini
10. lazimi orang alim, banyakkan perbualan isu-isu sebegini
11. menjaga hubungan dengan Allah swt dan sesama makhluk
ni belum disusun ikut keutamaan


Khilaf Qiraat

Khilaf Qiraat dalam Surah Fatihah dan ayat 1 - 5 Surah a-Baqarah SURAH AL-FATIHAH بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١ ٱلۡحَم...