PENGENALAN
Ramly Mokni merupakan seorang tokoh usahawan Melayu Islam yang telah mengecapi dan mencapai kejayaan
dalam bidang keusahawanan dengan begitu cemerlang dan patut diteladani oleh
usahawan-usahawan bumiputera yang lain.
Dato' Haji Ramly B. Mokni ialah seorang usahawan yang
terkenal dengan syarikat perusahaannya yang diberi nama Ramly Mokni Holding
Berhad dan anak-anak syarikatnya ialah Ramly Food Processing Sdn. Bhd.,
Pemasaran Ramly Mokni Sdn. Bhd., Ramly Supermart Sdn. Bhd. dan Ramly Mokni
Bakeri Sdn. Bhd. Selain itu, nama yang paling sinonim dengan perusahaan beliau
dan dikenali oleh pelbagai lapisan masyarakat dengan jenama Ramly Burger.
BIODATA BELIAU
Biodata ringkas beliau ialah sebagaimana berikut. Namanya ialah
Dato’ Haji Ramly Bin Mokni manakala namanya ialah isteri Datin Hajjah Shala
Siah Bt. Abdul Manap. Mula berniaga pada tahun 1984.Pencapaiannya ialah beberapa
kali pernah memenangi Anugerah Usahawan Terbaik serta kini mempunyai 2 buah
kilang pemerosesan di Kawasan Perindustrian Bandar Tun Razak, Cheras dan di
Taman Perindustrian IKS, Mukim Batu, Kuala Lumpur.
SEJARAH PENUBUHAN
Berbekalkan pengetahuan dan pengalaman berkaitan produk berasaskan
daging dan ayam yang diperolehinya semasa bekerja sebagai penyelia bahagian
daging di sebuah pasar raya banyak membantunya dalam memulakan perniagaanya. Idea beliau untuk mengusahakan pengeluaran daging burger tercetus
ketika pelanggan pasar raya bertanya kepadanya adakah ada bumiputera yang
menghasilkan produk daging kendaliannya.
Pada tahun 1980, beliau telah memulakan perniagaannya bersama
isterinya bermodalkan wang simpanan mereka sebanyak RM2,000 di Chow Kit, namun
ketika itu penghasilan daging burger hanya dibuat secara manual menggunakan
mesin memproses daging secara manual
yang dibeli menggunakan duit modal.
Pada mulanya, daging burger dihasilkannya hanya dijual kepada rakan
dan jiran di sekitar Kampung Baru menerusi gerai burger pertama di Jalan Haji
Hussin, Chow Kit, Kuala Lumpur. Ketika itu juga nama Ramly secara tidak
langsung digunakan sebagai jenama produknya apabila beliau dengan spontan menjawab
Ramly sebaik seorang pelanggan menanyakan jenama burger dihasilkannya.Namun, apabila permintaan pelanggan meningkat daripada 200 kepada
2,000 keping daging burger sehari, pada 1981 beliau memutuskan untuk berpindah
ke rumah kedai Lorong Haji Hussein di kawasan sama.
Ketika itu, beliau mendaftarkan perniagaan atas nama Perusahaan
Burger Ramly Mokni Sdn Bhd dengan sebahagian kerja pengeluaran daging mula
menggunakan mesin lebih canggih yang menghasilkan sekitar 10,000 keping daging
burger sehari. Perniagaan diusahakan semakin membangun hinggakan pengeluaran pada
waktu itu berjaya mencapai 50,000 keping sehari dan beliau mula mencari kilang
yang sesuai untuk melebarkan luaskan lagi perniagaan.
Pada tahun 1984, keinginan mengkomersialkan produk ini mula timbul
dan operasi pengeluaran kemudian dipindahkan ke kilang baru di Kawasan
Perindustrian Bandar Tun Razak (Kuala Lumpur) yang berkeluasan 10,000 kaki
persegi dan nama syarikat juga ditukar kepada Ramly Food Processing Sdn Bhd. Kini, aktiviti pengeluaran dilakukan sepenuhnya di kilang beliau
yang terletak di Taman Perindustrian IKS Mukim Batu (Kuala Lumpur) secara
separa-auto. Beliau sentiasa berusaha untuk menghasilkan produk yang lebih
berinovasi bagi memenuhi pasaran eksport negara Asean.
ANAK SYARIKAT
1. Pemasaran Ramly Mokni Sdn Bhd
Ketika ini, produk Ramly dipasarkan melalui lebih dari 120 orang
pemborong berdaftar di bawah anak syarikat Ramly Mokni Holding Berhad iaitu
Pemasaran Ramly Mokni Sendirian Berhad. Syarikat pemasaran ini beribupejabat di
Desa Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur. Pemasaran Ramly Mokni Sdn Bhd adalah
bertanggungjawab menawarkan khidmat jualan, pemasaran dan perkhidmatan selepas
jualan kepada pelanggan. Bagi memastikan pengedaran dan penghantaran produk
dijamin kualiti dan kesegarannya, kenderaan kontena sejukbeku digunakan.
2. Ramly Supermarket Sendirian Berhad
Sebuah lagi anak syarikat Ramly yang berobjektif dalam memastikan
produknya mudah didapati dipasaran telah ditubuh di Lorong Raja Bot (Off Jalan
Raja Alang) di Kuala Lumpur. Anak syarikat ini dikenali sebagai Ramly
Supermarket Sendirian Berhad, dan ia beroperasi 24jam. Pembukaan anak syarikat
ini bagi memastikan khidmat borong dan runcit boleh dilaksanakan diantara RAMLY
dengan penjaja dan orang awam.
3. Ramly Halal Mart Sdn Bhd dan Ramly Halal Kiosk Sdn Bhd
Menurut beliau syarikatnya ditubuhkan bagi memastikan produk Ramly
mudah diperoleh, manakala dua lagi anak syarikat iaitu Ramly Halal Mart Sdn Bhd
dan Ramly Halal Kiosk Sdn Bhd dipertanggungjawabkan untuk menawarkan
perkhidmatan jualan sejuk beku melalui pasar mini dan jualan masak melalui kafe
atau kios kepada pembeli.
KONSEP YANG DIAMALKAN
Konsep halal
Selaras konsep halal yang dititikberatkan, syarikat induk Ramly
menubuhkan Jabatan Halal & Hal Ehwal Islam yang diketuai kakitangan
berkelulusan syariah ke arah memastikan proses pengeluaran mengikut manual
standard Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Sijil Pengesahan Halal
setiap dua tahun.
Inovasi dan Produksi
Malah, kata beliau, syarikat induk turut menubuhkan makmal
penyelidikan dan pembangunan (R&D) baru untuk mengkaji dan menginovasikan
produk sedia ada serta menghasilkan produk baru. Di makmal ini, produk sedia
ada akan dikaji daripada segi ramuan dan proses supaya dapat menghasilkan
produk berkualiti tinggi dengan kos minimum, selain mengeluarkan produk baru
yang bernutrisi dengan harga kompetitif. Cara pembungkusan yang menarik juga
dikaji dalam memastikan produk kelihatan menarik dan boleh dinikmati.
Kualiti
Keselamatan makanan serta sistem kawalan mutu turut ditekankan dan
makmal mikrobiologi disediakan sebagai langkah memastikan produk beliau
menepati kriteria keselamatan makanan yang digariskan, sesuai dengan
pengiktirafan yang diterima daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia
(JPV) melalui Sijil Program Keselamatan Makanan yang berkaitan tentang lokasi
dan cara bekalan daging diperoleh serta memastikan haiwan yang disembelih
mengikut hukum syarak. Selain itu, bekalan daging adalah diperoleh daripada
pembekal yang mendapat kelulusan Jakim dan pengesahan kualiti oleh JPV.
Slogan syarikat Dengan slogan ‘Pastikan Ramly baru beli’, beliau memegang prinsip
Halal, Bersih dan Bermutu bagi setiap produk yang dikeluarkan, baik daripada
segi produk, tempat perniagaan, peralatan, sumber kewangan, logistik dan
penyimpanan.
CIRI-CIRI KEUSAHAWANAN
1. Keyakinan diri dan ketabahan serta kecekalan hati.
Kejayaannya bukanlah dapat dinikmati dalam sekelip mata, tetapi
terpaksa mengharungi dengan pelbagai cabaran dan halangan. Dengan berbekalkan
keyakinan diri dan ketabahan serta kecekalan hatinya, beliau telah dapat
mengembangkan perniagaannya dari gerai menjual burger sehingga membuka kilang
untuk mengeluarkan daging burger dari 300 keping sehari kepada 30 tan daging
sehari selepas 20 tahun dengan jualan tahunan kini mencatat RM42 juta.
2. Seorang yang bijak merebut peluang dan berdaya kreatif dan
inovatif serta berpandangan jauh demi umat islam.
Kenyataan ini dibuktikan daripada pemerhatian beliau semasa bekerja
sebagai penyelia bahagian daging di sebuah pasar raya di ibu kota pada awal
tahun 1970an di mana kebanyakan makanan sejuk beku yang dijual tidak pasti
halal haramnya, telah mencetuskan idea beliau untuk menghasilkan daging burger
dan sosej yang ditanggung halal untuk dimakan oleh umat Islam di negara ini.
3. Tidak pernah berputus asa.
Selain itu, beliau tidak pernah putus asa walaupun usahanya pernah
diperlekehkan oleh masyarakat dan juga pihak bank yang telah menolak permohonan
pinjamannya pada awal penglibatannya dalam bidang perniagaan. Namun, berbekalkan
dengan simpanan bersama isterinya dan juga bantuan pinjaman yang diberikan oleh
Bank Pembangunan dan Malaysia Berhad telah membolehkannya mengorak langkah
untuk memajukan perniagaannya.
Hal ini sekaligus telah membuktikan peranan agensi kerajaan adalah
amat penting dalam membantu para usahawan lebih-lebih lagi bagi mereka yang
baru menceburi bidang ini. Sikapnya yang tidak mudah berputus asa adalah satu
sifat terpuji yang turut ditekankan di
dalam ajaran islam.
4. Corak pengurusan beliau yang sangat cekap dan efisyen.
Sebarang rungutan dan ketidakpuasan hati oleh pelanggan, beliau
pasti akan bersegera untuk memperbaiki mutu produknya dengan cara berjumpa
dengan pelanggan tertentu dengan kadar segera untuk mengetahui masalahnya. Ini jelas
menggambarkan corak pengurusan beliau yang sangat cekap dan efisyen dalam
menangani sebarang masalah yang timbul. Hasil kegigihan beliau, beliau telah
dianugerahkan beberapa kali Anugerah Usahawan Terbaik.
5. Berpegang kepada prinsip-prinsip yang mulia.
Di samping itu, beliau sentiasa memegang kepada prinsip-prinsip
yang amat ditekakan oleh islam di dalam menjalankan perniagaan iaitu kejujuran,
menitikberatkan mutu barangan yang dihasilkan dan lain-lain lagi. Keutamaan dan
pandangan pelanggan terhadap barangan keluaran syarikatnya tidak pernah diambil
ringan. Hal ini adalah bagi memastikan kepuasan pelangan dapat dijaga dengan
baik.
6. Sentiasa mendapatkan dorongan dari keluarga terutama isterinya.
Beliau juga mengakui bahawa sokongan keluarga adalah amat penting
untuk mendorongnya terutamanya isterinya yang sentiasa memberikan dorongan
kepadanya dan beliau telah mengatakan bahawa kejayaannya adalah hasil sokongan
kuat keluarga. Kata-kata semangat yang membina dari seorang isteri yang solehah
adalah umpama mutiara yang berkilauan dimalam kelam.
Islam amat menitikberatkan hubungan kekeluargaan. Hal ini adalah
kerana, dorongan dan semangat dari ahli keluarga adalah lebih memberi kesan
terhadap hati terutamanya dalam menghadapi pelbagai permasalahan di dalam
kehidupan.
KEJAYAAN YANG DICAPAI
Syarikat beliau telah diberikan pengiktirafan sebanyak tiga kali
oleh Bank Pembangunan atas kecermelangan prestasi iaitu Anugerah Projek Terbaik
(1982), Anugerah Pelanggan Pembangunan (1984) dan Anugerah Usahawan Jaya
(1992).
Bukan itu sahaja malah pada tanggal 11 Disember 2009 beliau telah
menerima pingat kebesaran berpangkat Dato daripada Duli Yang Maha
Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul
Aziz Shah Alhaj sempena Hari Keputeraan baginda Sultan.
Pada 2008, Ramly
Food Processing Sdn. Bhd. membuat pelaburan menjangkau RM15 juta bagi
pembesaran kilang di Taman Perindustrian IKS, Batu Caves, Kuala Lumpur. SME Bank telah
meluluskan pembiayaan syariah kepada Ramly Food Processing Sdn. Bhd. bagi
membiayai kos pembelian bahan mentah syarikat ini. Produk-produk
syarikat ini telah dikenali ramai dan berkualiti tinggi. Syarikat ini merupakan
syarikat Bumiputera terkemuka yang telah mencipta nama dalam industri makanan
sejuk beku di negara ini.
KESIMPULAN
Siapa
lagi tidak kenal dengan jenama Ramly Burger. Produk hasil usahawan melayu islam
yang gigih itu kini berada di setiap pelosok negara dan bahkan di negara-negara
jiran. Usahawan gigih ini tidak pernah menjejakkan kaki ke universiti dan hanya
mendapat pendidikan setakat SPM, namun beliau mampu menghasilkan jualan lebih
RM50 juta setahun. Kegigihan beliau
membangunkan syarikat berasaskan makanan memang mengagumkan banyak pihak kerana
kebanyakan usahawan melayu tidak berminat menceburi bidang tersebut. Kejayaan
beliau perlu dijadikan semangat kepada usahawan melayu untuk menceburi bidang
keusahawanan terutamanya yang berasaskan makanan.
Demikianlah
contoh salah seorang dari tokoh-tokoh usahawan islam yang telah berjaya dalam
bidang keusahawanan dan perlu dijadikan panduan dan mentor kepada usahawan
lain. Kejayaan beliau adalah disebabkan kegigihan dan sifat beliau yang
sentiasa berusah untuk maju dan tidak takut dengan risiko dan pelbagai masalah
yang perlu dihadapi dalam perniagaan.
Membaca tentang ketokohan dan kejayaan
orang lain perlu dilakukan oleh para usahawan terutamanya jika ia seorang
usahawan islam yang ingin berjaya sekaligus ingin menaikkan lagi nama agama
islam sebagai menghakis pandangan yang mengatakan bahawa agama islam ialah satu
agama yang mundur ketinggalan zaman. Ikutilah mereka yang berjaya dengan jujur
dan berusaha bersungguh-sungguh. Jangan meneladani usahawan yang kaki rasuah,
sabotaj, mengharapkan bantuan orang atasan dan lain-lain lagi.
Kejayaan bukan hanya diukur kepada taraf pendidikan dan mempunyai
modal yang besar semata-mata kerana ramai juga usahawan berpendidikan tinggi
dan mempunyai modal besar gagal dalam perniagaan mereka. Pepatah ada menyebut,
“berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian. bersakit-sakit dahulu
bersenang-senang kemudian”, yang membawa maksud jikalau mahu menjadi seorang yang
berjaya, kamu mesti tabah menghadapi segala cabaran dan rintangan.
Pepatah ini
amat sesuai dipadamkan dengan kisah kejayaan Dato’ Haji Ramly Bin Mokni yang
memulakan perniagaannya dengan pinjaman yang kecil dari Bank Pembangunan pada
tahun 1982 yang kini perniagaannya itu telah melahirkan sebuah syarikat yang
terkemuka di negara ini. Wahai saudara seislamku, berusahalah untuk berjaya
walau dalam apa bidang yang kita ceburi kerana kita adalah pembawa imej islam.
Sekian, sekadar perkongsian