Monday 26 October 2015

Ramly Burger

Dato' Haji Ramly B. Mokni


PENGENALAN

    Ramly Mokni merupakan seorang tokoh usahawan Melayu Islam  yang telah mengecapi dan mencapai kejayaan dalam bidang keusahawanan dengan begitu cemerlang dan patut diteladani oleh usahawan-usahawan bumiputera yang lain.
       Dato' Haji Ramly B. Mokni ialah seorang usahawan yang terkenal dengan syarikat perusahaannya yang diberi nama Ramly Mokni Holding Berhad dan anak-anak syarikatnya ialah Ramly Food Processing Sdn. Bhd., Pemasaran Ramly Mokni Sdn. Bhd., Ramly Supermart Sdn. Bhd. dan Ramly Mokni Bakeri Sdn. Bhd. Selain itu, nama yang paling sinonim dengan perusahaan beliau dan dikenali oleh pelbagai lapisan masyarakat dengan jenama Ramly Burger.

BIODATA BELIAU

Biodata ringkas beliau ialah sebagaimana berikut. Namanya ialah Dato’ Haji Ramly Bin Mokni manakala namanya ialah isteri Datin Hajjah Shala Siah Bt. Abdul Manap. Mula berniaga pada tahun 1984.Pencapaiannya ialah beberapa kali pernah memenangi Anugerah Usahawan Terbaik serta kini mempunyai 2 buah kilang pemerosesan di Kawasan Perindustrian Bandar Tun Razak, Cheras dan di Taman Perindustrian IKS, Mukim Batu, Kuala Lumpur.


SEJARAH PENUBUHAN

Berbekalkan pengetahuan dan pengalaman berkaitan produk berasaskan daging dan ayam yang diperolehinya semasa bekerja sebagai penyelia bahagian daging di sebuah pasar raya banyak membantunya dalam memulakan perniagaanya. Idea beliau untuk mengusahakan pengeluaran daging burger tercetus ketika pelanggan pasar raya bertanya kepadanya adakah ada bumiputera yang menghasilkan produk daging kendaliannya.

Pada tahun 1980, beliau telah memulakan perniagaannya bersama isterinya bermodalkan wang simpanan mereka sebanyak RM2,000 di Chow Kit, namun ketika itu penghasilan daging burger hanya dibuat secara manual menggunakan mesin memproses daging secara  manual yang dibeli menggunakan duit modal.

Pada mulanya, daging burger dihasilkannya hanya dijual kepada rakan dan jiran di sekitar Kampung Baru menerusi gerai burger pertama di Jalan Haji Hussin, Chow Kit, Kuala Lumpur. Ketika itu juga nama Ramly secara tidak langsung digunakan sebagai jenama produknya apabila beliau dengan spontan menjawab Ramly sebaik seorang pelanggan menanyakan jenama burger dihasilkannya.Namun, apabila permintaan pelanggan meningkat daripada 200 kepada 2,000 keping daging burger sehari, pada 1981 beliau memutuskan untuk berpindah ke rumah kedai Lorong Haji Hussein di kawasan sama.

Ketika itu, beliau mendaftarkan perniagaan atas nama Perusahaan Burger Ramly Mokni Sdn Bhd dengan sebahagian kerja pengeluaran daging mula menggunakan mesin lebih canggih yang menghasilkan sekitar 10,000 keping daging burger sehari. Perniagaan diusahakan semakin membangun hinggakan pengeluaran pada waktu itu berjaya mencapai 50,000 keping sehari dan beliau mula mencari kilang yang sesuai untuk melebarkan luaskan lagi perniagaan.

Pada tahun 1984, keinginan mengkomersialkan produk ini mula timbul dan operasi pengeluaran kemudian dipindahkan ke kilang baru di Kawasan Perindustrian Bandar Tun Razak (Kuala Lumpur) yang berkeluasan 10,000 kaki persegi dan nama syarikat juga ditukar kepada Ramly Food Processing Sdn Bhd. Kini, aktiviti pengeluaran dilakukan sepenuhnya di kilang beliau yang terletak di Taman Perindustrian IKS Mukim Batu (Kuala Lumpur) secara separa-auto. Beliau sentiasa berusaha untuk menghasilkan produk yang lebih berinovasi bagi memenuhi pasaran eksport negara Asean.

ANAK SYARIKAT

1. Pemasaran Ramly Mokni Sdn Bhd
Ketika ini, produk Ramly dipasarkan melalui lebih dari 120 orang pemborong berdaftar di bawah anak syarikat Ramly Mokni Holding Berhad iaitu Pemasaran Ramly Mokni Sendirian Berhad. Syarikat pemasaran ini beribupejabat di Desa Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur. Pemasaran Ramly Mokni Sdn Bhd adalah bertanggungjawab menawarkan khidmat jualan, pemasaran dan perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan. Bagi memastikan pengedaran dan penghantaran produk dijamin kualiti dan kesegarannya, kenderaan kontena sejukbeku digunakan.

2. Ramly Supermarket Sendirian Berhad
Sebuah lagi anak syarikat Ramly yang berobjektif dalam memastikan produknya mudah didapati dipasaran telah ditubuh di Lorong Raja Bot (Off Jalan Raja Alang) di Kuala Lumpur. Anak syarikat ini dikenali sebagai Ramly Supermarket Sendirian Berhad, dan ia beroperasi 24jam. Pembukaan anak syarikat ini bagi memastikan khidmat borong dan runcit boleh dilaksanakan diantara RAMLY dengan penjaja dan orang awam.

3. Ramly Halal Mart Sdn Bhd dan Ramly Halal Kiosk Sdn Bhd
Menurut beliau syarikatnya ditubuhkan bagi memastikan produk Ramly mudah diperoleh, manakala dua lagi anak syarikat iaitu Ramly Halal Mart Sdn Bhd dan Ramly Halal Kiosk Sdn Bhd dipertanggungjawabkan untuk menawarkan perkhidmatan jualan sejuk beku melalui pasar mini dan jualan masak melalui kafe atau kios kepada pembeli.


KONSEP YANG DIAMALKAN

Konsep halal
Selaras konsep halal yang dititikberatkan, syarikat induk Ramly menubuhkan Jabatan Halal & Hal Ehwal Islam yang diketuai kakitangan berkelulusan syariah ke arah memastikan proses pengeluaran mengikut manual standard Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Sijil Pengesahan Halal setiap dua tahun.

Inovasi dan Produksi
Malah, kata beliau, syarikat induk turut menubuhkan makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) baru untuk mengkaji dan menginovasikan produk sedia ada serta menghasilkan produk baru. Di makmal ini, produk sedia ada akan dikaji daripada segi ramuan dan proses supaya dapat menghasilkan produk berkualiti tinggi dengan kos minimum, selain mengeluarkan produk baru yang bernutrisi dengan harga kompetitif. Cara pembungkusan yang menarik juga dikaji dalam memastikan produk kelihatan menarik dan boleh dinikmati.

Kualiti
Keselamatan makanan serta sistem kawalan mutu turut ditekankan dan makmal mikrobiologi disediakan sebagai langkah memastikan produk beliau menepati kriteria keselamatan makanan yang digariskan, sesuai dengan pengiktirafan yang diterima daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPV) melalui Sijil Program Keselamatan Makanan yang berkaitan tentang lokasi dan cara bekalan daging diperoleh serta memastikan haiwan yang disembelih mengikut hukum syarak. Selain itu, bekalan daging adalah diperoleh daripada pembekal yang mendapat kelulusan Jakim dan pengesahan kualiti oleh JPV.

      Slogan syarikat Dengan slogan ‘Pastikan Ramly baru beli’, beliau memegang prinsip Halal, Bersih dan Bermutu bagi setiap produk yang dikeluarkan, baik daripada segi produk, tempat perniagaan, peralatan, sumber kewangan, logistik dan penyimpanan.


CIRI-CIRI KEUSAHAWANAN 

1. Keyakinan diri dan ketabahan serta kecekalan hati.
Kejayaannya bukanlah dapat dinikmati dalam sekelip mata, tetapi terpaksa mengharungi dengan pelbagai cabaran dan halangan. Dengan berbekalkan keyakinan diri dan ketabahan serta kecekalan hatinya, beliau telah dapat mengembangkan perniagaannya dari gerai menjual burger sehingga membuka kilang untuk mengeluarkan daging burger dari 300 keping sehari kepada 30 tan daging sehari selepas 20 tahun dengan jualan tahunan kini mencatat RM42 juta.

2. Seorang yang bijak merebut peluang dan berdaya kreatif dan inovatif serta berpandangan jauh demi umat islam.
Kenyataan ini dibuktikan daripada pemerhatian beliau semasa bekerja sebagai penyelia bahagian daging di sebuah pasar raya di ibu kota pada awal tahun 1970an di mana kebanyakan makanan sejuk beku yang dijual tidak pasti halal haramnya, telah mencetuskan idea beliau untuk menghasilkan daging burger dan sosej yang ditanggung halal untuk dimakan oleh umat Islam di negara ini.

3. Tidak pernah berputus asa.
Selain itu, beliau tidak pernah putus asa walaupun usahanya pernah diperlekehkan oleh masyarakat dan juga pihak bank yang telah menolak permohonan pinjamannya pada awal penglibatannya dalam bidang perniagaan. Namun, berbekalkan dengan simpanan bersama isterinya dan juga bantuan pinjaman yang diberikan oleh Bank Pembangunan dan Malaysia Berhad telah membolehkannya mengorak langkah untuk memajukan perniagaannya.
Hal ini sekaligus telah membuktikan peranan agensi kerajaan adalah amat penting dalam membantu para usahawan lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru menceburi bidang ini. Sikapnya yang tidak mudah berputus asa adalah satu sifat  terpuji yang turut ditekankan di dalam ajaran islam.

4. Corak pengurusan beliau yang sangat cekap dan efisyen.
Sebarang rungutan dan ketidakpuasan hati oleh pelanggan, beliau pasti akan bersegera untuk memperbaiki mutu produknya dengan cara berjumpa dengan pelanggan tertentu dengan kadar segera untuk mengetahui masalahnya. Ini jelas menggambarkan corak pengurusan beliau yang sangat cekap dan efisyen dalam menangani sebarang masalah yang timbul. Hasil kegigihan beliau, beliau telah dianugerahkan beberapa kali Anugerah Usahawan Terbaik.

5. Berpegang kepada prinsip-prinsip yang mulia.
Di samping itu, beliau sentiasa memegang kepada prinsip-prinsip yang amat ditekakan oleh islam di dalam menjalankan perniagaan iaitu kejujuran, menitikberatkan mutu barangan yang dihasilkan dan lain-lain lagi. Keutamaan dan pandangan pelanggan terhadap barangan keluaran syarikatnya tidak pernah diambil ringan. Hal ini adalah bagi memastikan kepuasan pelangan dapat dijaga dengan baik.

6. Sentiasa mendapatkan dorongan dari keluarga terutama isterinya.
Beliau juga mengakui bahawa sokongan keluarga adalah amat penting untuk mendorongnya terutamanya isterinya yang sentiasa memberikan dorongan kepadanya dan beliau telah mengatakan bahawa kejayaannya adalah hasil sokongan kuat keluarga. Kata-kata semangat yang membina dari seorang isteri yang solehah adalah umpama mutiara yang berkilauan dimalam kelam.
Islam amat menitikberatkan hubungan kekeluargaan. Hal ini adalah kerana, dorongan dan semangat dari ahli keluarga adalah lebih memberi kesan terhadap hati terutamanya dalam menghadapi pelbagai permasalahan di dalam kehidupan.


KEJAYAAN YANG DICAPAI

Syarikat beliau telah diberikan pengiktirafan sebanyak tiga kali oleh Bank Pembangunan atas kecermelangan prestasi iaitu Anugerah Projek Terbaik (1982), Anugerah Pelanggan Pembangunan (1984) dan Anugerah Usahawan Jaya (1992).

Bukan itu sahaja malah pada tanggal 11 Disember 2009 beliau telah menerima pingat kebesaran berpangkat Dato daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj sempena Hari Keputeraan baginda Sultan.

 Pada 2008, Ramly Food Processing Sdn. Bhd. membuat pelaburan menjangkau RM15 juta bagi pembesaran kilang di Taman Perindustrian IKS, Batu Caves, Kuala Lumpur. SME Bank telah meluluskan pembiayaan syariah kepada Ramly Food Processing Sdn. Bhd. bagi membiayai kos pembelian bahan mentah syarikat ini. Produk-produk syarikat ini telah dikenali ramai dan berkualiti tinggi. Syarikat ini merupakan syarikat Bumiputera terkemuka yang telah mencipta nama dalam industri makanan sejuk beku di negara ini.


KESIMPULAN

         Siapa lagi tidak kenal dengan jenama Ramly Burger. Produk hasil usahawan melayu islam yang gigih itu kini berada di setiap pelosok negara dan bahkan di negara-negara jiran. Usahawan gigih ini tidak pernah menjejakkan kaki ke universiti dan hanya mendapat pendidikan setakat SPM, namun beliau mampu menghasilkan jualan lebih RM50 juta setahun. Kegigihan beliau membangunkan syarikat berasaskan makanan memang mengagumkan banyak pihak kerana kebanyakan usahawan melayu tidak berminat menceburi bidang tersebut. Kejayaan beliau perlu dijadikan semangat kepada usahawan melayu untuk menceburi bidang keusahawanan terutamanya yang berasaskan makanan.

           Demikianlah contoh salah seorang dari tokoh-tokoh usahawan islam yang telah berjaya dalam bidang keusahawanan dan perlu dijadikan panduan dan mentor kepada usahawan lain. Kejayaan beliau adalah disebabkan kegigihan dan sifat beliau yang sentiasa berusah untuk maju dan tidak takut dengan risiko dan pelbagai masalah yang perlu dihadapi dalam perniagaan. 

      Membaca tentang ketokohan dan kejayaan orang lain perlu dilakukan oleh para usahawan terutamanya jika ia seorang usahawan islam yang ingin berjaya sekaligus ingin menaikkan lagi nama agama islam sebagai menghakis pandangan yang mengatakan bahawa agama islam ialah satu agama yang mundur ketinggalan zaman. Ikutilah mereka yang berjaya dengan jujur dan berusaha bersungguh-sungguh. Jangan meneladani usahawan yang kaki rasuah, sabotaj, mengharapkan bantuan orang atasan dan lain-lain lagi.

Kejayaan bukan hanya diukur kepada taraf pendidikan dan mempunyai modal yang besar semata-mata kerana ramai juga usahawan berpendidikan tinggi dan mempunyai modal besar gagal dalam perniagaan mereka. Pepatah ada menyebut, “berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian. bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian”, yang membawa maksud jikalau mahu menjadi seorang yang berjaya, kamu mesti tabah menghadapi segala cabaran dan rintangan. 

Pepatah ini amat sesuai dipadamkan dengan kisah kejayaan Dato’ Haji Ramly Bin Mokni yang memulakan perniagaannya dengan pinjaman yang kecil dari Bank Pembangunan pada tahun 1982 yang kini perniagaannya itu telah melahirkan sebuah syarikat yang terkemuka di negara ini. Wahai saudara seislamku, berusahalah untuk berjaya walau dalam apa bidang yang kita ceburi kerana kita adalah pembawa imej islam.

 Sekian, sekadar perkongsian







1 comment:

Khilaf Qiraat

Khilaf Qiraat dalam Surah Fatihah dan ayat 1 - 5 Surah a-Baqarah SURAH AL-FATIHAH بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١ ٱلۡحَم...