Wednesday 19 October 2016

Agama Sikh

AGAMA SIKH



1.0 PENGENALAN

Agama Sikh merupakan sebuah agama yang termuda berbanding agama-agama lain dan muncul sekitar 500 tahun yang lalu di India. Merupakan sebuah agama yang diasaskan mengikut ajaran Guru Nanak dan sembilan orang pengikutnya yang turut digelar sebagai Guru di Punjab. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat perkataan Sikh merujuk kepada orang ataupun golongan yang menganut agama Sikhisme. Perkataan Sikh berasal dari bahasa Sanskrit iaitu Shishya yang bermaksud pelajar. Pada masa kini jumlah penganut agama Sikh melebihi 23 juta orang di seluruh dunia dengan kadar 0.32 peratus penduduk dunia.

            Selain itu, antara definisi ‘Sikh’ yang diterima pakai oleh orang Sikh pada hari ini ialah definisi yang ditetapkan oleh Shiromani Gurdwara Parbandhak Committee (SGPC) iaitu “Orang Sikh ialah wanita atau lelaki yang mempercayai Tuhan yang satu, 10 orang Guru Sikh iaitu dari Guru Nanak hingga Guru Gobind Singh, percaya kepada Guru Granth Sahib, menjalani amrit dan tidak menerima agama-agama lain”.

            SGPC merupakan sebuah badan yang bertanggungjawab untuk mengatasi masalah yang melibatkan penganut Sikh di seluruh dunia. Pada 16 November 2003, Institute of  Sikh Studies (IOSS) dalam seminar tahunannya telah meluluskan resolusi supaya SGPC mengambil inisiatif untuk mewujudkan sebuah badan tertinggi yang mewakili semua organisasi Sikh dari seluruh dunia. 

            Ini bertujuan untuk menjaga kepentingan dan menyelesaikan krisis-krisis yang dihadapi oleh penganut Sikh di seluruh dunia, antaranya ialah perpecahan, masalah identiti dan peristiwa orang Sikh yang keluar dari agama Sikh dan memeluk agama lain. SGPC ini bertanggungjawab menguruskan gurdwara, keselamatan, kewangan, kemudahan penyelenggaraan  serta menjaga artifak suci Sikh seperti  senjata, pakaian, buku-buku dan tulisan-tulisan Guru Sikh.


2.0 SEJARAH KELAHIRAN DAN PERKEMBANGAN AGAMA SIKH

2.1 SEJARAH KELAHIRAN AGAMA SIKH

            Dari segi sejarah, agama Sikh diinspirasikan oleh dua orang tokoh reformis agama Hindu iaitu Ramanand (1400-1470 Masihi ) dan Kabir ( 1440-1518 Masihi ). Ramanand merupakan seorang penganut agama Hindu dan juga seorang penyair yang dilahirkan dalam keluarga Brahmin. Beliau juga dikenali dengan nama Jagadguru Ramanandacharya. Namun disebabkan beliau tidak bersetuju dengan sistem kasta yang terlalu ditekankan oleh golongan Brahmin, beliau telah mengasaskan satu aliran dalam agama Hindu yang dikenali sebagai Gerakan Hindu Bhakti. Diantara kandungan ajarannya ialah beliau sangat mencela penyembahan berhala.

            Kebanyakkan syair yang dikarang beliau mengajar bahawa tuhan itu esa, kebenaran merupakan sahabat yang paling rapat kepada manusia dan hidup bersederhana itu merupakan jalan terbaik untuk mencapai Nirwana. Keadaan ini memberitahu kita bahwa ajaran yang dibawa oleh Ramanand masih terikat dengan ajaran Hindu yang mana berpegang bahawa Nirwana merupakan balasan terhadap perbuatan baik.

            Selain itu, Ramanand juga masih mempercayai hukum Karma dan Reinkarnasi. Hukum Karma bermaksud balasan terhadap perbuatan yang dilakukan oleh manusia sepanjang hidupnya. Manakala Reinkarnasi pula merupakan penjelmaan kembali makhluk yang telah mati untuk menerima balasan diatas kejahatan yang dilakukannnya.

            Manakal Kabir pula merupakan seorang lelaki miskin daripada kasta paling rendah agama Hindu. Ayah kabir meninggal dunia sewaktu Kabir masih kecil lagi dan beliau dibesarkan oleh ibunya sehingga berumur setahun. Disebabkan kesempitan hidup, ibu Kabir telah mengambil keputusan untuk menghanyutkannya ke sungai Gangga di daerah Banares. Beliau bernasib baik kerana telah dijumpai oleh sepasang suami isteri yang bernama Niru dan Nima yang beragama Islam.

            Apabila meningkat dewasa Kabir telah dihantar oleh kedua ibu bapa angkatnya untuk mempelajari ilmu di Varanasari. Pada usia 16tahun, beliau telah mempelajari ajaran-ajaran yang terdapat di dalam agama Islam dan Hindu. Di samping itu Kabir juga sangat meminati syair-syair yang dihasilkan Ramanand.

            Walaupun Kabir mempunyai ilmu pengetahuan tentang ajaran-ajaran di dalam agama Islam dan Hindu namun masih tidak berpuas hati terhadap keduanya malah lebih tertarik kepada karya-karya Ramanand. Beliau akhirnya telah membentuk ajarannya sendiri yang dikenali sebagai Kabir Panthis yang bermaksud pengikut jalan Kabir. Beliau juga telah menulis ajarannya yang digubah dalam bentuk syair dan mendakwa semua agama mempunyai kebenaran dan hanya ada satu tuhan sahaja. Akhirnya idea yang dicetuskan Kabir ini telah dikembangkan oleh Guru Nanak yang menjadi pengasas kepada agama Sikh.

            Pada asasnya, Guru Nanak telah menentang segala jenis ritual dan beliau tidak bertujuan untuk membentuk ajaran baru. Ajaran beliau adalah lebih berbentuk kepada peraturan kemasyarakatan yang mana masyarakat ketika itu mengalami kekeliruan diantara kepercayaan tradisi dari agama Hindu dan ajaran tauhid dari penyebaran agama Islam.

            Percubaan menyebarkan Islam ke India telah dimulakan sejak zaman Khulafa al-Rasyidin lagi. Usaha murni ini telah diteruskan di bawah pemerintahan kerajaan Umaiyah terutamnya pada pemerintahan khalifah al-Walid bin Abd al-Malik. Sekitar tahun 711-712 Masihi, melalui ekspedisi yang dipimpin oleh panglima Muhammad bin al-Qasim yang telah mengetuai angkatan tentera menuju ke India dan memulakan perkembangan peradaban Islam di India.

2.2 PENGASAS AGAMA SIKH

            Pada abab ke 15, telah berlakunya Gerakan Bakhti yang diasaskan oleh Ramanand di India. Gerakan ini bertujuan untuk mengkritik amalan-amalan yang melibatkan tatacara dalam upacara keagamaan dan tahyul pada zaman tersebut. Para pendokong gerakan ini menegaskan bahawa tujuan dari Hinduisme dan Islam adalah sama. Segala perbezaan diantara keduanya tidak boleh dijadikan alasan untuk mencetuskan kebencian dan permusuhan dalam agama. Pada zaman ini jugalah Guru Nanak dilahirkan.

            Guru Nanak di lahirkan pada 15 April 1469 di sebuah perkampungan bernama Talwandi yang kini diberi nama ‘Nankana Sahib’ berdekatan Lahore, Pakistan dan meninggal dunia pada 22 September 1539. Ayahnya bernama Mehta Kalu manakala ibunya bernama Tripta. Beliau berketurunan bangsawan beragama Hindu. Beliau juga amat tertarik dengan ajaran yang dibawa oleh Ramanand dan Kabir Panthis. Pada tahun 1488, beliau telah berkahwin dengan Sulakhani pada usianya 19 tahun dan dikurniakan dua orang putera. Keadaan hubungan diantara agama Hindu dan Islam pada waktu tersebut diselubungi pelbagai permasalahan dan persengketaan.

            Dikatakan Guru Nanak gemar pergi ke dalam hutan untuk memikirkan masalah yang menimpa masyarakatnya. Pada usia tiga puluh tahun, Guru Nanak telah menemui sesuatu yang baru di dalam hidupnya sekembalinya dari hutan yang selalu dikunjunginya itu, beliau memberitahu isterinya bahawa beliau telah menjadi Guru. Apabila ditanya oleh isterinya apakah yang dimaksudkan dengan Guru itu, beliau memberitahu bahawa Guru adalah orang yang ditugaskan untuk mengajar suatu kepercayaan. Apabila ditanya lagi oleh isterinya apakah kepercayaan itu, Guru Nanak memberitahu bahawa “tiada agama Hindu, dan tiada agama Islam, tuhan bukanlah Hindu dan bukan Islam, jalan yang aku ikuti ialah jalan tuhan”. Semenjak itu Guru Nanak telah mengembara ke seluruh India untuk mengembangkan ajaran baru yang dibawanya.

            Sebelum Guru Nanak meninggal dunia, beliau telah memilih salah seorang dari anak muridnya iaitu, Lehna, untuk dilantik sebagai penggantinya menjadi Guru agama Sikh. Guru Nanak kemudian menukar nama Lehna kepada Angad. Terdapat sembilan Guru dalam agama Sikh selepas Guru Nanak yang mana diakhiri oleh Guru Granth Sahib.


2.3 SEJARAH PERKEMBANGAN AGAMA SIKH

            Guru Angad telah dilantik menjadi guru pada tahun 1539. Beliau telah dilahirkan pada tahun 1504 dan meninggal dunia pada tahun 1552. Diantara sumbangan beliau ialah telah menyusun syair-syair yang mengandungi ajaran Guru Nanak dan membukukannya di dalam kitab Nanak Janam Sakhi dan telah memperkenalkan sistem tulisan yang dikenali sebagai Gurumurthi. Pada zaman Guru Angab juga diperkenalkan gelaran Panthi terhadap komuniti atau golongan Sikh. Selain itu, diantara pembaharuan lain yang diperkenalkan oleh beliau ialah dengan memperakui bahawa Guru Nanak sebenarnya merupakan penjelmaan tuhan di muka bumi ini. Pembaharuan ini menyebabkan beliau menitikberatkan ajaran berkonsepkan Monisme.

            Menurut konsep ini tuhan adalah satu, tidak dua dan tiga. Bagi mendekatkan diri kepada tuhan setiap penganut agama Sikh mestilah menyebut nama tuhan setiap hari terutamanya dalam upacara keagamaan mereka. Ajaran ini juga menafikan penyembahan kepada sesuatu objek kerana yang mesti disembah oleh seluruh manusia adalah tuhan yang satu. Dari agama Islam mereka telah mengambil ajaran Monoteisme iaitu ajaran yang mengakui satu tuhan sahaja. Manakala dari agama Hindu pula mereka telah mengambil konsep Panteisme dan Monisme yang mana mengangap bahawa tuhan juga wujud dalam alam semulajadi. 

             Oleh itu dapat difahami bahawa tuhan dalam agama Sikh juga wujud dalam semua bentuk termasuklah manusia. Nama tuhan ialah Nam. Nam mempunyai banyak sifat. Tuhan bagi penganut agama Sikh terdiri dari dua aspek iaitu tuhan Nirguna dan tuhan Sirguna. Akan tetapi tuhan yang disembah oleh penganut Sikh cumalah tuhan Nirguna. Sifat tuhan Nirguna adalah menyamai sifat tuhan di dalam agama Islam. Manakala tuhan Sirguna pula menyerupai tuhan yang disembah di dalam agama Hindu.

            Selain Guru Angad terdapat lagi lapan orang guru lagi yang mana masing-masing memainkan peranan penting dalam melakukan perkembangan di dalam agama Sikh. Diantara mereka ialah Sri Guru Amar Das (1479-1574), Sri Guru RamDas, (1534-1581), Sri Guru Arjun  (1563-1606), Sri Guru Hargobind Sahib (1595-1644), Sri Guru Har Rai (1630-1661), Sri Guru Krishna (1656-1664), dan Sri Guru Teg Bahadur (1621-1675). Manakala guru yang terakhir pula bernama Guru Gobind Singh (1666-1708).

             Beliau merupakan anak kepada Guru Teg Bahadur yang mana dilantik menjadi guru pada tahun 1675. Beliaulah merupakan orang yang bertanggunjawap dalam melengkapkan dan menyempurnakan agama Sikh. Diantara pembaharuan yang dilakukan oleh beliau ialah telah memperkenalkan konsep Khalsa pada tahun 1699. Khalsa merupakan satu upacara yang perlu dilakukan oleh seseorang untuk menjadi penganut agama Sikh sama ada lelaki atau perempuan melalui upacara Amrit Sanskar iaitu upacara pembaptisan. Upacara ini dilakukan oleh lima Sikh yang soleh dan sempurna yang digelar Panji Piare (Five Beloved Ones). Sebelum dibaptiskan, individu tersebut mestilah mandi terlebih dahulu serta wajid memakai simbol Kakkars.

            Selain itu, Guru Gobind Singh juga telah memperkenalkan pemakaian sejenis kain pembalut kepala atau kain serban bagi penganut agama Sikh yang lelaki dan meletakkan tambahan pada akhir nama penganut Sikh iaitu Singh yang bermaksud singga. Beliau juga telah membukukan sebuah kitab yang bernama Dasam Granth hasil dari susunan teks-teks baru. Isi kandungan kitab tersebut adalah berbentuk syair-syair karyawan yang diambil dari kaum lain seperti Persia dan Islam. Seterusnya beliau telah menyusun dan menggabungkan kitab Dasam Granth dan kitab Adi Granth dalam sebuah kitab yang dinamai kitab Guru Granth Sahib yang mana kini menjadi kitab suci bagi agama Sikh dan sebagai pengganti kepada beliau.

            Guru Gobind Sing turut melibatkan kaum Sikh di dalam peperangan menentang orang Islam demi mencapai cita-cita mereka iaitu menubuhkan sebuah negara mereka sendiri. Setelah beliau meninggal dunia pada tahun 1708, ia meninggalkan kaum Sikh di bawah pimpinan seorang jeneralnya yang bernama Gurbakhash Sing Bhai memimpin kaum Sikh dalam perjuangan mereka. Pemerintah pada waktu itu kemudiannya memutuskan untuk mengharamkan agama Sikh yang akhirnya memaksa para penganut agama Sikh melarikan diri ke kawasan pergunungan dan hutan.

            Dalam tahun 1757 orang-orang Sikh telah menguasai Lohore, ibukota pemerintahan kerajaan Mogul di Punjab dan telah mengusir orang-orang Mogul dari Punjab. Pada tahun 1765, agama Sikh diistiharkan sebagai agama yang paling kuat pengaruhnya di Punjab. Namun kegemilangan ini tidak bertahan lama, kerajaan Sikh terpaksa pula berhadapan dengan Inggeris yang mana telah berjaya menawan sebahagian besar India ketika itu. Dalam permusuhan ini telah terjadi dua peperangan besar diantara tentera Sikh dan Inggeris yang mana dikenali sebagai perang Sikh. Akhirnya kerajaan Sikh telah mengalami kekalahan dan menjadi sebahagian jajahan Inggeris di India.

3.0 KOMUNITI SIKH HARI INI

            Semenjak orang Sikh berhijrah dari Punjab lebih dari satu abad dahulu ke negara-negara luar, mereka telah membentuk komuniti Sikh yang bersifat global. Walaupun suasananya berbeza dengan penempatan asal mereka, namun orang Sikh masih mengekalkan agama, budaya dan bahasa sebagai identiti mereka yang tersendiri. Dalam masyarakat Malaysia, komuniti Sikh masih lagi dikategorikan sebagai etnik minoriti berbanding dengan etnik-etnik lain. Walaupun mereka berasal dari Punjab India, komuniti Sikh adalah berbeza dengan komuniti Tamil yang juga berasal dari benua India. Kedatangan mereka ke Malaysia dengan membawa sejarah, budaya, agama dan bahasa yang tersendiri ini merupakan elemen-elemen yang penting dalam pembentukan masyarakat berbilang kaum dan agama.

            Walaupun komuniti Sikh adalah komuniti minoriti, namun ia tidak menghalang mereka dari hidup berdampingan dengan tiga bangsa majoriti iaitu Melayu, Cina dan India serta komuniti minoriti yang lain dalam suasana harmoni. Dalam masa yang sama, mereka juga menyumbang ke arah kesejahteraan sosio-ekonomi negara ini. Di peringkat global pula, perbincangan mengenai identiti Sikh juga mendapat perhatian setelah berlakunya peristiwa 11 september 2001 yang menyebabkan orang Sikh menjadi mangsa ‘mistaken identity’ di Amerika Syarikat yang turut melibatkan orang Sikh di seluruh dunia.


4.0 KESIMPULAN

            Agama merupakan satu keperluan dalam kehidupan setiap manusia. Mereka yang mencuba untuk mengasingkan agama dari kehidupan seharian adalah individu-individu yang mengalami kekeliruan yang amat jelas. Tanpa agama kejahatan akan berleluasa. Sejarah dan perkembangan agama Sikh bermula dengan munculnya ajaran-ajaran yang dibawa oleh dua orang tokoh reformis Hindu iaitu Ramanand dan Kabir yang mana menjadi inspirasi kepada Guru Nanak untuk membentuk satu ajaran baru dan menyebarkannya sehingga terbentuklah agama Sikh.

            Manakala tokoh yang memainkan peranan utama di dalam agama Sikh ialah guru yang kesepuluh iaitu guru Gobind Singh. Beliau telah memperkenalkan beberapa konsep baru di dalam agama Sikh yang mana masih diamalkan oleh penganutnya sehingga sekarang. Keunikan agama ini dapat dilihat terutamanya apabila mereka melakukan amalan dan ritual dalam upacara Amrit Sanskar dan rukun agamanya iaitu 5K atau juga dikenali sebagai Kakkars. Menjadi lumrah dalam sesuatu agama ianya akan menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan serta halangan dari luar bahkan dari dalam agama itu sendiri. Untuk mengatasi masalah sebegini perlulah dilakukan suatu usaha untuk mengekalkan ajaran yang dibawa oleh guru-guru mereka dari diselewengkan yang mana implikasinya akan menyebabkan ramai penganut agama Sikh akan mula hilang kepercayaan dan ketaatan terhadap agama mereka.
          

# Sebetulnya masih terdapat kekurangan di dalam penulisan ala-ala kajian ini. Moga bermanfaat.. Sekadar rujukan untuk perkongsian semua. Moga membantu. : )



4 comments:

  1. 1)dua orang tokoh reformis Hindu iaitu Ramanand dan Kabir
    (Kabir merupakan orang islam)
    2)Guru Gobind Sing turut melibatkan kaum Sikh di dalam peperangan menentang orang Islam demi mencapai cita-cita mereka iaitu menubuhkan sebuah negara mereka sendiri.(peperangan ini menentang kezaliman pemerintah terhadap kaum Hindu dan Sikh daripada dipaksa untuk menukar agama ke agama Islam.)

    ReplyDelete
  2. Dari agama Islam mereka telah mengambil ajaran Monoteisme iaitu ajaran yang mengakui satu tuhan sahaja. Manakala dari agama Hindu pula mereka telah mengambil konsep Panteisme dan Monisme yang mana mengangap bahawa tuhan juga wujud dalam alam semulajadi. (bukan mengambil tetapi agama ini diturunkan oleh Tuhan yang Satu)

    ReplyDelete
  3. tolong berikan penjelasan sedikit mengenai info di atas

    ReplyDelete
  4. apakah isu-isu sensitif yg penganut agama sikh di Malaysia pernah lalui?

    ReplyDelete

Khilaf Qiraat

Khilaf Qiraat dalam Surah Fatihah dan ayat 1 - 5 Surah a-Baqarah SURAH AL-FATIHAH بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١ ٱلۡحَم...