Monday, 10 June 2019

Tafsir Sufi Nazari

Tafsir Sufi dan Perkembangannya

Tafsir sufi berasal dari dua patah kata iaitu “tafsir” dan “sufi”. Tafsir beerti satu bidang ilmu yang membincang dan menjelaskan kehendak Allah swt yang tersemat dalam kitabNya menurut kemampuan manusia. Manakala kata sufi pula beerti mengenepikan kehidupan dunia dan kemewahannya. Tafsir sufi membawa pengertian suatu pentafsiran yang dilakukan oleh golongan sufi berdasarkan bidang kepakaran mereka. Walau bagaimanapun tidak mudah bagi ahli sufi mendapatkan ayat-ayat suci al-Quran yang bertepatan dan menyokong aliran mereka. Hal ini kerana matlamat penurunan al-Quran adalah untuk memberi petunjuk kepada manusia dan bukannya bertujuan untuk menyokong teori-teori ciptaan manusia yang adakalanya jauh dari ruh agama dan kefahaman akal. Perkara ini menyebabkan ada dikalangan mereka yang berusaha memaksakan ayat suci al-Quran agar kelihatan menyokong teori dan aliran mereka. Perkara ini merupakan salah satu faktor penyelewengan dalam ilmu tafsir.

Banyak penyelewengan telah berlaku dalam pentafsiran al-Quran. Hal ini disebabkan beberapa faktor. Faktor utamanya apabila berlaku pembuangan sanad dari tafsir bi’mathur dan berkembangnya pentafsiran berasaskan kefahaman akal yang menyeleweng. Selain itu, masa menyaksikan penulisan tafsir telah melalui anjakan dan percampuran diantara penafsiran berasaskan kefahaman akal dan kefahaman berasaskan nas. Percampuran yang telah berlaku memperlihatkan usaha mufassir mengumpulkan pandangan beberapa individu dan melakukan pentarjihan terhadap pandangan mereka. Kaedah ini diterima selagi mana tidak bercanggah dengan syarat-syaratnya. Namun perbahasan sebegini saban waktu telah berkembang sehinggakan munculnya kitab-kitab tafsir yang mengandungi tafsiran-tafsiran yang tidak dapat dikaitan dengan penafsiran secara bil’mathur.

Aspek akal ataupun dikenali sebagai tafsir bi al-ra’yi telah banyak mendahului dalam penulisan tafsir al-Quran berbanding penafsiran secara bil’mathur. Lahirnya tokoh-tokoh yang menulis kitab tafsir mengikut kepakaran mereka sehingakan berlakunya perbincangan-perbincangan yang melampaui batas. Ahli nahu umpamanya menekankan persoalan mengenai i’rab dan nahu, ahli kalam pula mengumpulkan pandangan para hukamat dan ahli falsafah dengan menyebutkan kekeliruan yang ditimbulkan mereka di samping menolak hujah-hujah mereka, ahli sejarah dengan memuatkan kisah-kisah perkahabaran generasi silam dan kerapkali berlaku percampuran diantara kisah yang benar dan palsu. Manakala ahli fiqh pula lebih cenderung menekankan pentafsiran mereka dengan menfokuskan kepada perosoalan-persoalan fiqh dan cabang-cabangnya. Selain itu, ahli sufi pula dengan kesufian mereka dalam mentafsirkan al-quran dengan mengemukakan perkara-perkara yang berkaitan aspek rohani.

Menurut menurut Ahmad Muslim, tasawuf sudah ada semenjak zaman nabi Muhammad SAW, para sahabat dan tabi'in. Namun sebutan yang digunakan bukanlah tasawuf akan tetapi yang digunakan ialah istilah zahid, abid dan nasik. Pengunaan istilah tasawuf hanya bermula pada penghujung abad kedua hijrah. Setelah abab kedua hijrah muncul berbagai teori yang membicarakan mengenai konsep kesufian. Martabat seorang sufi turut diperbahaskan seperti martabat al-ma'rifat, fana' dan ijtihad. Selain itu, kemunculan ahli-ahli sufi adalah kerana beberapa faktor, antaranya apabila penyakit cintakan dunia mulai meresapi ke dalam hati umat Islam dan berlakunya pergolakkan dalam politik ketika itu. Kedua situasi ini telah mengakibatkan individu-individu yang ingin mempertahankan keimanan dan kerohanian mereka menjauhi masyarakat. Mereka telah memilih untuk mengasingkan diri dan melakukan uzlah. Manakala setelah abab kedua hijrah juga, ilmu tasawuf telah mengalami percampuran dengan ilmu falsafah dan kalam sehingga akhirnya muncul apa yang dikenal sebagai tasawuf nazari dan tasawuf amali. Kedua aliran ini telah mempengaruhi pentafsiran sufi yang dilakukan terhadap ayat-ayat suci al-Quran dan akhirnya munculah istilah tafsir sufi isyari dan nazari.

Definisi Tafsir Sufi Nazari

Tafsir sufi nazari merupakan suatu bentuk pentafsiran yang dilakukan berlandaskan pengkajian dan pandangan para mufasir dalam bidang ini. Tafsir sufi nazari dipelopori oleh Ibn Arabi yang berfahaman wahdatul wujud yang mana terkenal dengan kitabnya futuhah al-makiyyah. Kitab ini turut dimuatkan pentafsiran secara sufi nazari sehingga ada pentafsiran yang dilakukan oleh pengarang terkeluar dari kaedah-kaedah pentafsiran yang diiktiraf. Manakala menurut Ahmad Muslim, tafsir sufi nazari beerti suatu penafsiran yang berasaskan pengkajian yang mendalam mengenai al-Quran yang dipengaruhi oleh elemen falsafah. Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa pentafsiran ini adalah proses pentakwilan terhadap ayat-ayat al-Quran yang mana menghasilkan penjelasan yang bercanggah dengan makna asal ayat-ayat tersebut.

Takwil menurut Cecep Alba beerti mengambil makna yang tersembunyi dari makna yang zahir dengan memperkirakan adanya qarinah yang memberi ruang untuk pengalihan makna tersebut secara kasyaf. Meskipun begitu, ada dikalangan ulama yang menolak pentafsiran sebegini kerana dilandasi oleh pentakwilan yang menyeleweng dan berlandaskan keinginan untuk mempertahankan ajaran-ajaran tasawuf yang didokong oleh pentafsir tersebut yang mana telah bercampur elemen falsafah (Kautsar Azhari Noer 2013). Walaupun begitu, pentakwilan sedemikian terhadap ayat suci al-Quran akan menemui kesukaran kerana matlamat penurunan al-Quran bukanlah untuk menyokong teori-teori ciptaan manusia bahkan penurunannya merupakan rahmatan lilalamin (rahmat bagi seluruh alam).

Pembahagian Tafsir Sufi Nazari
Tafsir sufi nazari dapat dibahagikan kepada dua metode pentafsiran iaitu metode tafsir ramzi dan batini. Penjelasan kedua-dua metode adalah sebagaimana di bawah.

1. Metode Tafsir Ramzi
Merupakan metode yang disampaikan dalam bentuk simbol-simbol dan istilah-istilah yang sukar difahami oleh masyarakat awam dan hanya difahami oleh golongan yang tertentu. Hanya mereka yang mencapai maqam yang tertinggi dalam ilmu tasawuf iaitu maqam 'irfan mampu melakukan tafsiran mengikut kaedah ramzi. Metode ini juga tidak terikat dengan mana-mana kaedah dan prinsip yang mana hakikatnya pentafsiran tersebut hanyalah berlandaskan pengalaman keruhanian mereka. Metode ini banyak menggunakan simbol (ramziyyah) dan isyarat tertentu yang berkembang pesat pada abad ketiga dan keempat hijrah.

2. Metode Tafsir Batini
Metode ini menekankan pentafsiran ayat-ayat suci al-Quran dengan memikirkan makna batin yang dimaksudkan dan tersembunyi disebalik maknanya yang umum. Menurut pihak yang membenarkan metode ini, bahawa hanya mereka yang dibukakan oleh Allah SWT pintu hatinya mampu melakukannya dan mereka adalah individu-individu yang terpilih. Mereka beranggapan hanya makna batin merupakan makna yang sebenar yang dimaksudkan oleh sesuatu ayat suci al-Quran. Perkara ini mengambarkan penafian terhadap makna zahir yang difahami oleh kebanyakkan ulama tafsir yang berpegang dengan kaedah dan prinsip dalam pentafsiran mereka. Pentakwilan batin yang dilakukan mereka juga haruslah secara mendalam dan melalui proses mujahadah diri yang berat.

Tafsir Sufi Nazari adalah suatu perbahasan keilmuan yang kurang mendapat perhatian. Hal ini terbukti dengan kurangnya perbahasan mengenainya terutama dalam rujukan-rujukan berbahasa Melayu.

Rujukan
Firdaus. 2016. Tafsir Sufi: Kajian Analitikal Terhadap Kitab Tafsir Al-Bahr al-Madid fi Tafsir al-Quran al-Majid oleh Ibn `Ajibah (1160 -1224 H). Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Cecep Alba. 2010. Corak Tafsir al-Quran Ibnu Arabi. Jurnal Sosioteknologi Edisi 21. Halaman: 987-1003.
Kautsar Azhari Noer. 2013. Hermeneutik Sufi: Sebuah Kajian atas Pandangan Ibn Arabi Tentang Takwil al-Quran. Jakarta: UIN Syarif Hidayatullah. Halaman: 309-326.
Ahmad Muslim. 2016. Corak Penafsiran Tasawuf Hamka (Studi Penafsiran Ayat-Ayat Tasawuf Dalam Tafsir Al-Azhar). Raden Intan Lampung: Fakultas Ushuluddin Institut Agama Islam Negeri (IAIN).

No comments:

Post a Comment

Khilaf Qiraat

Khilaf Qiraat dalam Surah Fatihah dan ayat 1 - 5 Surah a-Baqarah SURAH AL-FATIHAH بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١ ٱلۡحَم...